Monday, May 3, 2010

Pergaulan lelaki dan wanita haram??



Realiti hari ini menyaksikan manusia lelaki dan wanita telah bolos daripada pegangan agamanya sebagaimana bolosnya anak panah dari busarnya. Sifat, sikap, adab dan disiplin pergaulan jauh sekali daripada ajaran Islam. Dalam fenomena seperti ini perkataan ikhtilat (pergaulan antara lelaki dan wanita ajnabi) tentu sekali menjadi persoalan yang mengancam kesejahteraan masyarakat dan keutuhan agama.Oleh kerana itu ulama-ulama Islam satu masa dahulu secara tegas menghukumkan masalah ikhtilat di sekolah, di pasar dan di mana-mana tempat adalah haram. Wanita Islam pula dididik agar mengutamakan rumah daripada pekerjaan. Oleh kerana itu isu wanita bekerja dan apatah lagi berpolitik adalah satu isu yang ditegah pada satu masa dahulu.

Apakah sebenarnya ikhtilat itu haram?

Fiqh semasa pada kali ini akan menghuraikan hukum pergaulan antara lelaki dan perempuan dalam berbagai sempena dari segi dalil, skop perbincangan dan batas-batas pergaulan. Contohnya wanita di tempat kerja, di pasar, di pentas dan bergelut di bidang politik.

Adakah ia harus melakukan kerja-kerja yang seperti itu padahal dia terpaksa bergaul, bercakap dan bersemuka dengan bukan muhram dan bukan kaum sejenis mereka.Adakah wanita sepenuhnya seperti lelaki dalam bercampur dengan lelaki ajnabi?

Yakni adakah percampuran mereka dengan lelaki sama dengan percampuran lelaki dengan lelaki, tanpa ada perbezaan?

Jawapannya ialah:Tidak, secara pastinya tidak.

Tidak ada seorang pun yang mengatakan bahawa pergaulan wanita dengan lelaki sama dengan pergaulan lelaki dengan lelaki.

Kerana asasnya pergaulan lelaki sesama lelaki adalah harus, tetapi pergaulan lelaki dengan wanita tidak begitu.

Maka kalau itu asasnya, pergaulan lelaki dan wanita adalah haram, bukan harus.

Percampuran Yang Diharuskan

Setelah kita mengetahui asal hukum pergaulan antara lelaki dan perempuan adalah haram, maka ia adalah suatu perkara yang wajib dihindarkan kecuali dalam keadaan terpaksa atau keperluan yang mendesak.

Sheikh Abd. Karim Zaidan dalam kitabnya al-Mufassal Fi al-Ahkam al-Mar'ah yang masyhur menyebutkan contoh-contoh keadaan tersebut seperti di bawah.

1* Harus kerana terpaksa (dharurah)Ikhtilat yang berlaku kerana terpaksa

seperti yang disebutkan oleh Imam Nawawi dengan katanya:

"Berkata ahli mazhab Syafie: "Tidak ada perbezaan dalam pengharaman khulwah (berdua-duaan) sama ada dalam solat atau selainnya. Dikecualikan daripada hukum ini keadan-keadaan dharurah, seperti jika seseorang lelaki ajnabi mendapati seorang wanita ajnabi bersendirian di jalan, jauh daripada kumpulan manusia, maka harus ia menumpangkan wanita tersebut jika dibimbangi keselamatannya, maka pada ketika itu hukum menumpangkannya adalah wajib tanpa khilaf. Antara contoh dharurah yang lain ialah seperti seorang lelaki ajnabi melarikan wanita dengan tujuan menyelamatkannya daripada diperkosa, jika itu adalah satu satu jalan untuk menyelamatkan wanita tersebut.

2* Harus kerana keperluan (hajat)

Ulama' berkata, hajat mengambil peranan dharurah dalam mengharuskan perkara yang haram.

Di sana dicatatkan beberapa keperluan yang dianggap mengharuskan ikhtilat antara lelaki dan perempuan.

a) Ikhtilat kerana urusan jual beli yang dibenarkan oleh syarakHarus bagi wanita bercampur dengan lelaki semasa berjual beli, melakukan tawar menawar, memilih barang dengan syarat tidak berlaku khulwat (berdua-duaan) dan memelihara adab adab pergaulan.

b) Ikhtilat kerana melakukan kerja kehakimanWanita harus menjadi hakim dalam perkara selain hudud di sisi Hanafiah dan dalam semua perkara di sisi az-Zahiriah dan Imam at-Tabari.

Sudah termaklum kerja seperti ini mengundang percampuran dengan kaum lelaki yang terdiri daripada pendakwa, tertuduh, saksi dan lain-lain.

c) Ikhtilat kerana menjadi saksiIslam mengharuskan wanita menjadi saksi dalam kes berkaitan dengan harta dan hak-haknya.

Seperti dinyatakan dalam ayat akhir surah al-Baqarah. Menjadi saksi akan mendedahkan diri kepada percampuran dengan lelaki ajnabi.

d) Ikhtilat kerana amar makruf nahi mungkar. Ibnu Hazmin telah menyebutkan dalam kitabnya al-Muhalla bahawa Umar al-Khattab RA telah melantik al-Syifa’ menjadi penguatkuasa perbandaran.

Sudah tentu beliau akan bercampur dengan lelaki ketika menjalankan tugasnya.

e) Ikhtilat kerana melayan tetamuHarus bagi wanita melayan tetamu bersama suaminya dan jika ada alasan yang syar'i seperti tujuan memuliakan tetamu dan sebagainya walaupun ia terpaksa bercampur dengan tetamu.

Dalam hadith Bukhari, ada diriwayatkan bahawa Ummu Usaid melayani Rasulullah SAW dengan menghidangkan makanan dan menuangkan minuman untuk Baginda SAW.

f) Ikhtilat kerana memuliakan tetamu dan jika perlu makan bersamanyaHarus bagi wanita makan bersama tetamu dan suami tetamu kerana tujuan memuliakan tetamu atau tujuan lain yang syar'i.

Muslim meriwayatkan kisah satu keluarga yang ingin memuliakan Rasulullah SAW dan bertamukan baginda. Oleh kerana makanan yang sedikit, mereka memadamkan api dan memperlihatkan bahawa mereka makan bersama sama baginda.

Ini bererti bahawa orang Ansar dan isterinya itu duduk bersama tetamu untuk makan bersama, walaupun mereka tidak makan, kerana mengutamakan tetamu.

g) Ikhtilat dalam kenderaan awam

Harus bagi wanita keluar rumah kerana menunaikan kerja-kerjanya yang diharuskan, walaupun terpaksa bercampur dengan lelaki ajnabi, seperti keluar untuk menziarahi dua ibu bapanya, membeli belah dan ke hospital, meski pun ia terpaksa menaiki kederaan awam yang menyebabkan berlaku percampuran dengan penumpang lain dari kalangan lelaki ajnabi, dia mungkin duduk atau berdiri ditepinya. Percampuran ini diharuskan oleh keperluan yang syar'ie.

h) Ikhtilat dalam kerja-kerja jihad

Antara contoh pergaulan sewaktu jihad ialah seperti membawa air, merawat pesakit dan seumpamanya. Semua perkara tersebut adalah harus dilakukan oleh wanita kerana maslahah syariah.

Bukhari menyebut dalam sahihnya daripada Ar-Rabei binti Muawwiz katanya:"Kami bersama Nabi SAW merawat pesakit, memberi minum dan menghantar jenazah yang terbunuh ke Madinah."

i) Ikhtilat untuk tujuan belajar atau mendengar nasihat

Antara suasana yang diharuskan, ikhtilat dengan tujuan mengajar agama kerana Bukhari meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW keluar pada satu hari raya dan sembahyang dua rakaat. Setelah selesai solat Baginda berpusing mengarah wanita. Baginda menasihati mereka dan menyuruh mereka bersedekah, bersama baginda ialah Bilal.

j) Ikhtilat dalam suasana yang telah menjadi adat kebiasaan

Tersebut dalam kitab Muwatta' persoalan: "Adakah harus bagi wanita makan bersama hamba atau lelaki bukan muhramnya?" Berkata Malik:

"Tidak ada halangan pada perbuatan tersebut, jika dalam ruang uruf bahawa wanita makan bersama lelaki tersebut."

Kadang-kadang wanita makan bersama suami dan mereka yang sering makan bersama suaminya. Antara contoh yang berlaku pada zaman ini ialah percampuran sewaktu menziarahi sanak saudara. Dalam suasana yang seperti ini akan berlaku percampuran antara lelaki dan perempuan dalam satu bilik, makan pada satu meja dan sebagainya. Ini semua diharuskan selama terpelihara adab-adab Islamiah.

Saturday, May 1, 2010

Allah Menjaga Maruah dan Hak Wanita Melalui Agamanya


Setelah berada dalam kejahilan, masyarakat Arab adalah masyarakat yang mula-mula sekali menerima cahaya Islam. Muhammad SAW yang menerima risalah kenabian selepas Isa A.S merupakan satu hadiah dan nikmat Allah yang paling besar untuk seluruh alam. Baginda diutuskan menjadi Nabi di tengah-tengah kelompok masyarakat yang sudah sakit hati nalurinya juga fitrahnya sebagai seorang manusia.

قال الله تعالى : وما أرسلناك الا رحمة للعالمين

" Dan tiadalah kami mengutus kamu, melainkan untuk menjadi rahmat bagi semesta alam "

(Surah Al-Anbiya', ayat 107 )

Jesteru, Islam tersebar ke seluruh pelusuk negara Arab. Bahkan ketika dakwah Nabi dijalankan secara terbuka di Mekah, masyarakat yang dahagakan petunjuk datang dari dalam dan luar Mekah. Sehingga akhirnya Nabi Muhammad SAW menghantarkan Mus'ab Bin Umair untuk ke Madinah bagi mengajarkan ilmu agama. Datangnya Islam tentunya membawa kebahagiaan dan harapan baru pada diri masyarakat Arab ketika itu. Lebih-lebih lagi golongan wanita yang hidup mereka umpama barang gadaian ketika di zaman Jahiliyah sebelumnya. Islam mengangkat martabat wanita dengan setinggi-tingginya tanpa wujud penganiayaan. Wanita menjadi simbol kecantikan dan keindahan dunia, bahkan ia lebih baik dari seluruh dunia dan isinya.

قال النبي : الدنيا متاع وخير متاع الدنيا المرأة الصالحة

Sabda Rasulullah SAW : "Dunia adalah bahan keseronokan, dan sebaik-baik keseronokan dunia adalah perempuan yang soleh" ( Hadith riwayat Muslim )


Bagaimana sebenarnya Islam mengangkat martabat dan kemuliaan seorang wanita? Juga di manakah keistimewaan seorang wanita di sisi Islam? Persoalan sebegini selalu ditimbulkan dan jawapan serta penghujahannya pasti mampu membuatkan mata tidak buta, hati tidak mati.


PEMINANGAN





Jika diteliti di dalam Al-Quran dan hadith-hadith Rasulullah, ternyata banyak sekali p
erintah atau galakan-galakan juga tips-tips untuk memilih seorang wanita untuk dijadikan isteri. Walaupun secara tidak langsung, ia juga sebenarnya adalah tips-tips untuk memilih seorang lelaki untuk dijadikan suami.

1- قال النبي : تنكح المرأة لأربع لمالها ولحسابها ولجمالها ولدينها فاظفر بذات الدين تربت يداك

Maksudnya : Dinikahi seorang wanita kerana empat perkara : harta, keturunan, kecantikan dan agamanya. Pilihlah yang beragama, kamu pasti beruntung. ( Hadith riwayat Bukhari )

2- قال النبي : عليكم بالأبكار فانهم أعذب أفواها وأنتق أرحاما وأرضى باليسير

Maksudnya : Hendaklah kamu memilih perempuan yang masih dara kerana mereka menuturkan kata-kata yang baik, mampu mempunyai anak yang ramai dan lebih reda kepada kehidupan yang susah. ( Hadith riwayat Ibn Majah )

3- قال النبي : ولا يخطب الرجل على خطبة أخيه حتى يترك الخاطب قبله أو يأذن له الخاطب

Maksudnya : Seorang lelaki tidak boleh meminang seorang perempuan yang telah dipinang oleh saudara (muslimnya ) sehinggalah dia meninggalkannya ( membatalkan pinangan ) atau dia mengizinkan peminangan itu. ( Hadith riwayat Bukhari ).

4- قال الله تعالى : وانكحوا الأيمى منكم والصلحين من عبادكم ماإمائكم

Maksudnya : Dan berkahwinlah orang-orang yang bersendirian di antara kamu dan hamba
sahaya lelaki dan hamba sahaya perempuan yang soleh ( Surah An-Nuur, ayat 32 )


Ayat
Al-Quran dan hadith-hadith diatas sedikit sebanyak memberi petunjuk atau 'guideline' kepada umat manusia tentang pemilihan pasangan hidup masing-masing. Secara ringkasnya antara ciri wanita yang disarankan oleh Rasulullah SAW ialah yang beragama, solehah, menuturkan kata-kata yang baik, redha kehidupan yang susah bersama suami dan bukan lah tunangan orang lain. Bila dilihat dengan mata kasar, ia seolah-olah memberi satu kelebihan kepada goongan lelaki kerana berhak memilih hanya yang 'baik-baik' untuk dijadikan pasangan mereka. Tetapi jika dilihat dengan iman dan taqwa, ciri-ciri yang disenaraikan umpama satu nasihat daripada Rasulullah kepada para wanita di muka bumi agar memelihara kehormatan diri dan berusaha menjadikan diri hamba terbaik di sisi Allah. Ini kerana perkahwinan itu bukanlah ikatan yang terjalin sesama manusia, tetapi ia juga titi yang membawa wanita kepada Allah SWT. Golongan wanita pula perlu menyedari kebaikan yang dibina dan dibentuk dalam diri bukanlah kerana ingin memenuhi ciri-ciri di atas, akan tetapi ia adalah memenuhi tuntutan dan perintah Allah dan RasulNya.

PERKAHWINAN





Seperti yang telah disebutkan di atas, perkahwinan juga merupakan titi yang membawa wanita kepada Allah SWT. Justeru di dalam perkahwinan, Islam telah menggariskan keutamaan bagi golongan wanita demi menjaga maruah dan kehormatannya sebagai perhiasan dunia.

1- Wanita berhak ke atas perkahwinannya

قال النبي : لا تنكح الأيم حتى تستأمر ولا تنكح البكر حتى تستأذن قالوا يا رسول الله وكيف إذنها قال أن تسكت

Maksudnya : Janganlah kamu mengahwinkan janda melainkan setelah mendapat keputusannya. Jangan kamu mengahwinkan anak daramu melainkan setelah kamu meminta izin daripadanya. Sahabat bertanya : Ya Rasulallah, bagaimanakah dia mengizinkannya? Baginda menjawab: dia diam. ( Hadith riwayat Muslim )

2- Wanita berhak ke atas mas kahwin ( mahar ) perkahwinan

قال الله تعالى : وءاتوا النساء صدقاتهن نحلة

Maksudnya : Dan berikanlah kepada perempuan itu mas kahwin mereka sebagai pemberian yang wajib.( Surah An-Nisa', ayat 4 )

قال الله تعالى : فلا تأخذوا منه شيئا أتأخذونه, بهتنا وإثما مبينا

Maksudnya : Maka janganlah kamu mengambil sedikit pun daripada harta itu. Patutkah kamu
mengambilnya dengan cara yang tidak benar dan ( menyebabkan dosa ) yang nyata. ( Surah An-Nisa', ayat 20 )

3- Wanita berhak mendapat perlindungan

قال الله تعالى : أسكنوهن من حيث سكنتم من وجدكم ولا تضآروهن لتضيقوا عليهن

Maksudnya : Tempatkanlah isteri-isteri ( yang menjalani edahnya ) itu di tempat kediaman kamu sesuai dengan kemampuan kamu, dan janganlah kamu adakan sesuatu yang menyakiti
mereka ( di tempat itu ) dengan tujuan kamu hendak menyusahkan kedudukan mereka (supaya mereka keluar meninggalkan tempat itu ). ( Surah At-Talak, ayat 6 )

قال الله تعالى : وعلى المولود له, رزقهن وكسوتهن بالمعروف

Maksudnya : Dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara yang sepatutnya. ( Surah Al-Baqarah, ayat 233 )

4-Islam mengajarkan wanita menuju syurga

قال النبي : أيما امرأة ماتت وزوجها عنها راض دخلت الجتة

Maksudnya : Mana-mana wanita yang meninggal dunia dalam keadaan suaminya reda kepadanya, dia akan memasuki syurga. ( Hadith riwayat Tirmizi )

قال النبي : والذي نفسي بيده ما من رجل يدعو امرأته إلى فراشها فتأبى عليه إلا كان الذي في السماء ساخطا عليها حتى يرضى عنها

Maksudnya : Demi Allah yang jiwaku berada dalam genggamanNya! Seorang lelaki yang
mengajak insterinya ke tempat tidur tetapi dia enggan, penghuni langit akan marah kepadanya
sehinggalah suaminya reda kepadanya. ( Hadith riwayat Bukhari )


Terdapat banyak lagi bukti dan dalil di dalam Al-Quran dan Hadith Nabi yang menunjukkan betapa wanita diangkat tinggi oleh Allah di dalam Islam. Jangan dinilai ia dengan mata kasar, tapi nilailah ia dengan iman dan taqwa. Jika diberi keizinan oleh Allah SWT, saya akan cuba menyambung topik ini dengan menunjukkan dalil-dalil tentang kemuliaan wanita dalam aspek yang lain selain pertunangan dan perkahwinan. ( Ini pun sebab nak exam Fiqh Usrah, sebab tu saya mengambil kedua aspek ini ). Semoga tulisan ini sedikit sebanyak memberi manfaat kepada kita semua. Segala-galanya dari Allah SWT. Wallahua'lam..

وما جعل عليكم في الدين من حرج

" Dan Dia tidak menjadikan kamu menanggung keberatan dan susah payah dalam perkara-perkara agama..." Surah Al-Haj, ayat 78


sumber : http://nuwairahazzahra.blogspot.com/2009/04/wanita-di-sisi-islam.html