Wednesday, February 23, 2011

Bagaimana hendak menjadi seorang Pemaaf yang ikhlas??


KETIKA manusia diciptakan, Allah mencipta juga pelbagai bentuk emosi dan keinginan dalam diri manusia yang berbentuk positif dan negatif yang saling mempengaruhi antara satu sama lain. Antara sifat positif yang terdapat dalam diri manusia ialah pemaaf, yakni lawan kepada sifat pemarah dan pendendam.

Pemaaf adalah sifat luhur yang perlu ada pada diri setiap muslim. Ada beberapa ayat al-Quran dan hadis yang menekankan keutamaan bersifat itu yang juga disebut sebagai sifat orang yang hampir di sisi Allah.

Allah berfirman bermaksud: “Dan orang yang menahan amarahnya dan memaafkan orang lain, Allah menyintai orang yang berbuat kebajikan.” (Surah Ali Imran, ayat 132).

Namun, diakui bukan mudah untuk menjadi seorang pemaaf. Sikap negatif yang menjadi lawannya iaitu pemarah sentiasa berusaha menidakkan wujudnya sifat pemaaf dalam seseorang. Pertembungan dua unsur ini mewujudkan satu mekanisme yang saling ingin menguasai diri seseorang.

Iman dan takwa menjadi pengemudi melahirkan sifat pemaaf, manakala syaitan pula mengambil tempat mendidik sifat pemarah. Hakikatnya, syaitan sentiasa menggunakan kelemahan manusia untuk digoda dari pelbagai penjuru agar timbul sifat haiwaniah dalam diri manusia.

Memang tepat sifat pemaaf itu bukanlah satu perbuatan mudah dilakukan. Firman Allah yang bermaksud: “Tetapi, sesiapa yang sabar dan suka memaafkan, sesungguhnya termasuk pekerjaan yang berat ditanggung.” (Surah asy-Syura, ayat 43).

Sifat pemaaf memang sukar dilakukan memandangkan manusia sentiasa dikuasai fikiran logik untuk bertindak atas sesuatu perkara sehingga membunuh nilai moral sebenar.

Contohnya, bayangkan apakah tindakan spontan kita jika ditipu, dihina, dikhianati, dikecewakan dan perkara lain yang tidak disenangi. Sudah tentu perasaan marah akan menguasai diri dan diikuti pula dengan tindakan berbentuk lisan dan fizikal.

Kadangkala, perasaan marah juga disebabkan persaingan untuk mendapatkan sesuatu. Dalam keadaan itu, pesaing dianggap sebagai musuh yang perlu diatasi dengan apa cara sekalipun. Punca ini boleh merebak kepada fitnah, ugutan dan tindakan fizikal secara kekerasan.

Emosi manusia mudah terpengaruh ke arah melakukan tindakan yang pada pandangan logik adalah tindakan yang sepatutnya. Apatah lagi jika hasutan syaitan berjaya menguasai diri.

Di sinilah pentingnya kita memupuk sifat pemaaf dalam diri. Sesuatu yang logik tidak semestinya betul. Sebaliknya, ajaran agama adalah petunjuk kepada kebenaran yang mesti diamalkan untuk mendapat kebaikan di dunia dan akhirat.

Tindakan marah melampau dan diikuti pula dengan tindakan fizikal bukanlah jalan menyelesai masalah atau untuk menunjukkan siapa yang benar. Ketika itu jika diteruskan niat melakukan tindak balas atas kemarahan itu, mungkin ada tindakan yang mendatangkan keburukan sehingga melakukan pembunuhan.

Sesiapa berupaya menahan kemarahan, bererti dalam dirinya memiliki kemuliaan, keberanian, keikhlasan dan kekuatan yang sebenar. Sebaliknya, orang yang tidak mampu menahan marah adalah golongan yang lemah.

Nabi Muhammad bersabda: “Bukanlah orang yang kuat itu (dinilai) dengan (kekuatan) dalam pergelutan, sesungguhnya orang yang kuat ialah orang yang dapat menguasai dirinya ketika marah.” (Hadis riwayat Bukhari).

Pentingnya sifat menahan marah mendorong Nabi Muhammad apabila diminta oleh seorang lelaki agar berpesan atau mengajarnya mengenai sesuatu perkara, menjawab ringkas iaitu ‘jangan marah’.

Lelaki itu seperti tidak berpuas hati dengan jawapan itu. Dia mungkin merasakan apalah besar sangat kebaikan menahan marah. Lalu dia bertanya kali kedua mengharapkan agar Rasulullah memberitahu amalan lain yang lebih besar pahalanya. Tetapi Rasulullah tetap mengulangi perkataan ‘jangan marah’.

Untuk mendidik sifat baik dalam diri perlulah menghampiri diri dengan memperbanyakkan melakukan ibadat wajib dan sunat. Dengan kekuatan takwa dan iman secara langsung akan menjauhkan perkara yang ditegah, termasuk sifat pemarah.

Sifat pemaaf lahir dari jiwa dan hati yang tenang hasil daripada tarbiyah yang berterusan. Sebab itu, selalu memupuk sifat pemaaf. Bermulalah dengan perkara yang kecil dan mudah hilang sifat marah.

Jika ada sesuatu yang menimbulkan perasaan marah, berfikirlah sejenak untuk terlebih dahulu menilai atau muhasabah diri sendiri terlebih dahulu. Renungkan dalam hati sendiri adakah perkara itu juga berpunca dari kita sendiri? Adakah sebelum ini kita mengambil langkah yang wajar untuk mengelak perkara itu daripada berlaku?

Jika kita mampu berfikir sedemikian, cahaya kebenaran mudah memasuki ruang hati dan memberi petunjuk apakah tindakan yang wajar dilakukan seterusnya. Pada ketika itu syaitan tidak berpeluang untuk menyemarakkan perasaan marah, yang lahir adalah keinsafan dan sifat memaafkan.

Sifat pemaaf memberi manfaat yang besar kepada diri sendiri terutama dari segi rohani. Orang yang bersifat pemaaf selalu dalam keadaan tenang, hati bersih, berfikiran terbuka, mudah diajak berunding dan sentiasa menilai diri sendiri untuk melakukan kebaikan.

Bagi orang yang bersifat pemaaf, padanya tiada seorang pun dalam hatinya tersimpan perasaan marah. Sebab itu, hati orang bersifat pemaaf tidak mudah terbakar dengan provokasi yang menekan dirinya.

Banyak masalah berkaitan hubungan sesama manusia berpunca sifat marah dan membalas dendam. Biarpun perselisihan kecil, perkara itu tidak dapat diselesaikan disebabkan perasaan dendam masih bertapak di hati.

Sikap berdendam hanya merugikan kedua-dua pihak. Paling tertekan ialah pihak yang lebih banyak berdendam. Hatinya tidak tenteram dan sentiasa ada perasaan buruk sangka. Kadangkala, yang berdendam hanya sebelah pihak. Sedangkan, sebelah pihak lagi menganggap persengketaan sebelum ini selesai.

Jika sifat memaafkan diamalkan, insya Allah, kita juga tidak akan menanggung kemarahan daripada orang lain. Sesungguhnya Allah terlebih awal memberi keampunan dengan rahmat-Nya. Dan ingatlah kisah dimana seorang hamba Allah yang telah membunuh seramai 100 orang namun apabila beliau bertanya kepada seorang `alim adakah taubat dia masih diterima, si `alim menjawab pintu taubat Allah itu melebihi segala-galanya. Yakin dan percayalah..! La takhof wala tahzan, innAllaha ma`ana....bagi mereka yang telah menganiyai kita, kite serahkan urusan itu kepada Allah kerana Allah adalah ahsanul haakimin...wallahu`alam

Friday, February 11, 2011

Rasulullah saw Kekasihku...




Bismillahirrahmanirrahim...
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh...

Detik 12 Rabiul awal semakin menghampiri kita. Namun tahukah kita apakah peristiwa penting yang ada disebalik tarikh ini? Apabila diminta menyebut tarikh hari kekasih " Valentine day " semua pasti ada jawapannya. Tidak kurang juga apabila ditanya tarikh kemerdekaan Negara pasti semua tahu jawapannya. Namun bila ditanya bila tarikh kelahiran nabi semua tunduk dan menggelengkan kepala tanda tidak tahu. Sungguh sedih bila ini yang berlaku dalam masyrakat kita yang bangga dengan status islam mereka pada MYkad namun amalan dan perintah yang datang daripada agama islam di tinggalkan dan di letakkan
sejauh-jaunhnya daripada kehidupan dunia. Yang lebih menyedihkan dan memilukan adalah mereka petah dalam membicarakan islam seolah-olah islam itu sebati dalam diri mereka padahal yang sebenarnya mereka hanya bermuka-muka untuk mendapatkan kepentingan diri.

Inilah perkara yang disebut dan dilarang oleh Allah swt dalam Al-Quran :

" Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak melakukannya! , Amat besar kebenciannya di sisi Allah - kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya. "
(surah As-Saf ayat 2-3)


Dalam ayat ini, jelas Allah swt melarang dan mencela mereka yang hanya mengatakan sesuatu tentang islam namun dia sendiri meninggalkan dan tidak melaksanakannya. Oleh itu sedarlah wahai semua individu islam ! dan sebarkanlah perkara ini kepada saudara-saudaramu supaya kita kembali kepada Allah swt. Berbalik kepada tarikh 12 rabiul awal tadi, ia sebenarnya adalah tarikh kelahiran baginda Nabi Muhammad saw iaitu kekasih Allah swt dan merupakan rasul yang diutus Allah kepada seluruh umat manusia termasuk kita masyarakat di Malaysia.


Jadi jika diperhatikan pada kalendar masihi tarikh 12 rabiul awal ini akan kita sambut pada tarikh 15 Februari 2011 bersamaan hari Selasa . Oleh itu marilah kita memperbanyakkan amalan yang boleh mengingatkan kita kepada baginda Nabi Muhammad saw dan marilah kita menjadikan amalan sunnah baginda sebagai amalan rutin dalam kehidupan kita insyaAllah.

"Cerdasnya orang yang beriman adalah, dia yang mampu mengolah hidupnya yang sesaat, yang sekejap untuk hidup yang panjang. Hidup bukan untuk hidup, tetapi hidup untuk Yang Maha Hidup. Hidup bukan untuk mati, tapi mati itulah untuk hidup."

Kita jangan takut mati, jangan mencari mati, jangan lupakan mati, tapi rindukan mati. Kerana, mati adalah pintu berjumpa dengan Allah SWT. Mati bukanlah cerita dalam akhir hidup, tapi mati adalah awal cerita sebenarnya, maka sambutlah kematian dengan penuh ketakwaan.



Hendaknya kita selalu menjaga tujuh sunnah Nabi setiap hari. Ketujuh sunnah Nabi SAW itu adalah:

Pertama: Tahajjud, kerana kemuliaan seorang mukmin terletak pada tahajjudnya.

Kedua: Membaca Al-Qur'an sebelum terbit matahari Alangkah baiknya sebelum mata melihat dunia, sebaiknya mata membaca Al-Qur'an terlebih dahulu dengan penuh pemahaman.

Ketiga: Jangan tinggalkan masjid terutama di waktu shubuh. Sebelum melangkah kemana pun langkahkan kaki ke masjid, kerana masjid merupakan pusat keberkahan, bukan kerana panggilan muadzin tetapi panggilan Allah yang mencari orang beriman untuk memakmurkan masjid Allah.

Keempat: Jaga solat dhuha, kerana kunci rezeki terletak pada solat dhuha.

Kelima: Jaga sedekah setiap hari. Allah menyukai orang yang suka bersedekah, dan malaikat Allah selalu mendoakan kepada orang yang bersedekah setiap hari.

Keenam: Jaga wudhu terus-menerus kerana Allah menyayangi hamba yang berwudhu. Kata khalifah Ali bin Abu Thalib, "Orang yang selalu berwudhu ia akan sentiasa merasa selalu solat walau ia sedang tidak solat, dan dijaga oleh malaikat dengan dua doa, "ampuni dosa dan sayangi dia ya Allah".

Ketujuh: Amalkan istighfar setiap saat. Dengan istighfar masalah yang terjadi kerana dosa kita akan dijauhkan oleh Allah.

Zikir adalah bukti syukur kita kepada Allah. Bila kita kurang bersyukur, maka kita kurang berzikir pula, oleh kerana itu setiap waktu harus selalu ada penghayatan dalam melaksanakan ibadah ritual dan ibadah ajaran Islam lainnya. Zikir juga merupakan makanan rohani yang paling bergizi.

p/s : Salam Maulidur rasul buat semua umat islam...semoga kita berusaha menjadikan baginda sebagai kekasih kita..insyaAllah..

Saturday, February 5, 2011

Musuh Islam Rosakkan Gambaran Muslimah




MUSUH-MUSUH Islam menggunakan bermacam-macam cara untuk merosak wanita muslimah dalam semua aspek kehidupannya. Di antara cara yang mereka lakukan adalah:

a. Berita-berita media massa,sama ada media cetak mahupun elektonik.

Secara zahirnya, dapat saja pemberitaan itu dianggap sebagai langkah maju dalam membela kaum kewanitaan melalui tajuk-tajuk yang diperlukan wanita dan kononnya untuk membela hak-hak wanita. Namun, pada hakikatnya adalah eksploitasi dan penindasan terhadap kaum wanita melalui penampilan wanita-wanita yang tidak memiliki rasa malu dan berakhlak rendah.

b. Menyeru kaum wanita untuk menjalani kehidupan bebas dengan sebebas-bebasnya tanpa ada hubungan dengan Allah, Rasul dan Al-Qur`an.

c. Mengkempenkan hidup serba boleh serta keluar dari nilai-nilai syariat dan budaya Islam dengan penganjuran pelbagai program hiburan realiti agar mencari kepopulariti dan kemasyhuran.

d. Meniru budaya glamour yang menyimpang dari nilai-nilai Islam,seperti kehidupan para artis dan penyanyi yang mana ada mereka yang sanggup mendedahkan batang tubuh mereka untuk menjadi halwa mata lelaki sekaligus menambahkan koleksi dosa-dosa terhadap Allah swt.

e. Mengikuti fesyen-fesyen baru sama ada dalam pakaian,kasut dan lain-lain.

f. Menyeru wanita muslimah untuk bekerja di luar rumah dan bercampur dengan lelaki tanpa alasan yang dibenarkan.

g. Mengajari wanita tentang cara-cara menarik perhatian lelaki melalui penulisan syair dan asmara dalam ruangan majalah atau akhbar yang diberi nama: sastera, pena pembaca,dialog,dan lain-lainnya.

h. Kolum perkenalan antara remaja yang mendorong mereka untuk saling berkirim surat dan gambar
dan seterusnya merangsang kepada pergaulan bebas.

Paul,seorang misionari jerman (1879), pernah berkata: "Yakinlah anda dengan sepenuhnya bahawa kita tidak akan mampu mengalahkan Islam kecuali jika wanita itu bersama kita dan berjalan di barisan kita."

Muhammad Thala'at Harb Basya dalam kitabnya Al-Mar'atu wal Hijab berkata: "Sesungguhnya penghilangan hijab dan percampuran laki-laki dan wanita adalah dua perkara yang menjadi impian bangsa Eropah (Barat) sejak dulu."


harakah 4-6 Feb 2011

Thursday, February 3, 2011

Kebangkitan Rakyat Mesir : Saat sekutu Israel dijatuhkan Allah

Kebangkitan... intifada...!!

Kasyaf


Kasyaf adalah salah satu karamah atau kelebihan yang diberikan Tuhan kepada hamba-hambaNya yang dikasihiNya. Apa yang ingin disebut di sini adalah kasyaf yang dianugerahkan Tuhan kepada kekasihNya atau waliNya.Walaupun tidak dinafikan, ada kasyaf yang didapati oleh orang awam, kasyaf sebegitu boleh menipu dan merosakkan diri mereka. Kasyaf itu jika tidak dipimpin dan dijaga, nescaya menjadi istidraj kepada mereka.



Bagi wali Tuhan ini, hal-hal kasyaf sebenarnya telahpun dijanjikan Tuhan sepertimana dalam sebuah hadis qudsi, Allah berfirman yang maksudnya: Orang yang mendekatkan diri kepadaKu, mengerjakan yang fardhu dan yang sunat, sehingga Aku cinta kepada mereka lalu Aku menjadi pendengaran mereka dan Aku menjadi penglihatan mereka.



Kasyaf kepada wali Allah ini ada banyak bahagiannya, seperti berikut:



1) Kasyaf Mata



Mata dapat melihat alam mawara-ul-maddah atau disebut sebagai alam yang seni-seni atau boleh disebutkan sebagai alam di luar kebendaan. Di sini, mata dapat melihat perkara-perkara ghaib seperti malaikat, jin dan syaitan. Kasyaf inilah yang menjadikan orang seperti Sayyidina Umar nampak apa yang sedang berlaku pada tentera-tenteranya. Karamah seperti ini penting kerana dapat menyelamatkan seluruh tentera Islam.



2) Kasyaf Telinga



Kasyaf telinga disebut juga hatif. Telinga boleh mendengar benda-benda yang ghaib. Mendengar suara tetapi tidak nampak lembaganya sama ada dari jin yang soleh, malaikat atau waliullah. Suara itu adakalanya membawa berita gembira, adakalanya berita yang negatif. Tujuannya ialah Allah hendak menghiburkan orang yang mendapatnya. Kalau berita itu berita gembira, boleh menggembirakannya. Sebaliknya, kalau berita itu berita duka, juga akan menggembirakannya kerana dia tahu terlebih dahulu, sekurang-kurangnya dia boleh bersiap menghadapi ujian itu. Atau dia boleh mengelak daripada bahaya itu.



3) Kasyaf Mulut



Tuhan beri kepada orang itu, lidahnya masin seperti doanya kabul atau apa yang dia sebut terjadi sama ada jangka pendek atau jangka panjang. Juga, di mana saja dia memberi kuliah, nasihat, tunjuk ajar, berdakwah dan sebagainya, ianya mudah diterima masyarakat dan boleh mengubah hati mereka. Akhirnya berubahlah sikap masyarakat. Karamah seperti ini biasanya dikurniakan kepada pemimpin.



4) Kasyaf Akal



Mendapat ilmu yang seni-seni yang Allah kurniakan pada seseorang terus jatuh ke hatinya. Ini terjadi tanpa dia belajar, tanpa membaca, tanpa mentelaah dan tanpa berguru. Dinamakan juga ilham atau ilmu laduni. Agar tidak terkeliru, perlu diingat orang yang hendak dapat ilmu laduni itu, dia mestilah dahulu ada ilmu asas iaitu ilmu fardhu ain.



5) Kasyaf Hati



Dinamakan juga firasat. Inilah kasyaf yang tertinggi daripada kasyaf-kasyaf yang disebutkan tadi. Biasanya dikurniakan kepada pemimpin. Itupun tidak banyak kerana Allah kurniakan hanya kepada pemimpin-pemimpin yang sangat soleh, yang sangat sabar menanggung ujian yang begitu berat ditimpakan kepada mereka. Kasyaf hati ialah rasa hati atau gerakan hati yang tepat lagi benar. Dia boleh menyuluh mazmumah yang seni-seni yang kadang-kadang kita membaca kitab tak mengerti. Termasuk juga adalah rasa hati dapat membaca diri seseorang. Nabi pernah bersabda, "Hendaklah kamu takuti firasat orang mukmin kerana dia melihat dengan pandangan Allah". Apa yang dimaksudkan dengan firasat itu ialah kasyaf hati. Orang yang mendapatnya dapat memimpin diri dan dapat memimpin orang lain. Kalau tidak, seorang itu tidak layak jadi pemimpin. Kalau dia terus memimpin rosaknya lebih banyak daripada kebaikan.

Hati Menemukan Kedamaian dengan Mengingat Allah

Tekan disini..