Tuesday, April 28, 2009

Mencari Jodoh

Bismillahirahmanirrahim...

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh...

edited by: Diriku

Buat sahabat pembaca semua,lebih-lebih lagi mereka yang mengenali diriku ini,bukanlah aku ni dalam "kemaruk" untuk berpasangan tapi aku sengaja memilih topik perkahwinan ini kerana ia salah satu ibadah bagi kita umat nabi Muhammad S.A.W dan ia merupakan satu jalan bagi kita remaja terutamanya untuk mengelak dari perkara seperti penzinaan.Selain itu,inilah topik yang paling sesuai di bincangkan atau dicanangkan kerana kebanyakkan mereka yang melayari internet adalah dikalangan remaja.Semoga apa yang aku coretkan ni dapat memberi satu jalan baru kepada semua remaja islam terutamanya dalam membina perkahwinan yang bahagia.

Nabi berfirman,mafhumnya:

"Berkahwinlah kamu,kerana sesungguhnya aku bangga dengan umat yang banyak.Janganlah kamu menjadi seperti para Rahib kaum Nasrani",(Riwayat Baihaqi daripada hadith Abi Umamah)

Sebelum berkahwin sudah tentulah kita memerlukan pasangan atau jodoh yang sesuai bagi kita.Namun begitu sebagaimana yang kita semua sedia maklum, Jodoh di tangan Tuhan dan manusia wajib berikhtiar mencari dan memilihnya sesuai dengan ketentuan yang ditentukan Tuhan.

Pendapat ini lebih sempurna. Memang itulah aturan mencari dan memilih jodoh. Selain daripada pendapat di atas, masih ada cara lain yang digunakan di beberapa tempat seperti :

1. Jodoh dicari dan dipilih oleh orang tua tetapi perkahwinan
berlangsung atas persetujuan anak.

2. Anak lelaki mencari dan memilih jodohnya sendiri tetapi keputusan berkahwin bergantung kepada orang tua.

3. Anak lelaki atau perempuan mencari atau memilih jodohnya sendiri tetapi keputusan perkahwinan bergantung kepada kedua belah pihak orang tua.

4. Anak lelaki atau perempuan mencari atau memilih jodohnya sendiri serta menentukan sendiri perkahwinannya.
Mengikut ajaran Islam, persetujuan antara kedua belah pihak merupakan perkara asas, iaitu atas persetujuan dari calon suami dan isteri. Ini disebabkan perkahwinan di dalam Islam bertujuan untuk keselamatan dan kesejahteraan pasangan tersebut.

Kedua orang tua harus turut serta memikirkan atau memerhatikan jodoh bagi anaknya. Jadi masalah memilih jodoh dalam Islam boleh dilakukan oleh anak ataupun kedua orang tua.

Namun begitu, kedua orang tua tidak boleh sesuka hati mencarikan calon untuk anaknya. Ianya mestilah berlandaskan ajaran Islam.

Bagi menentukan jodoh untuk kaum wanita, setidak-tidaknya perlu diperhatikan beberapa ciri berikut:

i. Pemimpin keluarga yang baik dan bertanggungjawab untuk membina rumahtangga.

ii.Mencari nafkah yang jujur dan berhasil

iii. Pasangan ideal dalam erti;
- bersikap baik terhadap isteri
- dapat memberikan kebebasan berfikir dan memberi pendapat
- menerima kekurangan dan kelemahan isteri
- dapat membantu tugas isteri dalam keadaan dan kegiatan tertentu
- dapat menjaga kewibawaan isteri
- dapat membimbing isteri ke jalan yang baik
- dapat menghormati dan menyayangi sanak keluarga isteri

iv. Bapa yang baik dan sayang kepada anak-anak

v. Pasangan yang baik zahir dan batin

Bagi lelaki pula untuk memilih jodoh,Rasullullah telah berpesan kepada kita dalam hadisnya yang mana bermaksud:

"Seorang wanita dikahwini kerana empat perkara,kerana harta,kecantikkannya,kerana akhlak dan kerana agamanya.Kahwinilah seorang wanita itu kerana agamanya kerana engkau akan dapat memperoleh ketenteraman.(Riwayat al-Bukhari)

Sahabat pembaca sekalian,daripada hadis ini kita perlu perhatikan dan perhalusi makna kata-kata Rasulullah S.A.W melalui hadis-hadis baginda yang lain.Di sini,kita dapat lihat dengan jelas dimana Baginda amat mementingkan agama dalam memilih jodoh.Oleh kerana itu,Baginda amatlah melarang sama sekali seorang lelaki itu berkahwin dengan seorang wanita atas dasar yang salah.Rasulullah bersabda,mafhumnya:

"Janganlah kamu berkahwin dengan seorang wanita kerana kecantikkannya,kerana kecantikkannya akan memusnahkan dirinya.Janganlah kamu berkahwin dengan wanita kerana kekayaannya,kerana kekayaannya akan membuatnya derhaka.Sesungguhnya seorang hamba yang hitam tetapi beragama itu adalah lebih baik kamu berkahwin dengannya daripada perempuan lain."(Riwayat Ibnu Hiban)

Kesimpulannya sahabat pembaca sekalian,jika kita ingin mendirikan rumah tangga yang dapat menjamin kebahagian kita di dunia dan lebih-lebih lagi di akhirat,carilah jodoh atau pasangan yang taat kepada Allah S.W.T dan cinta pada Rasulullah S.A.W.Sama-samalah kita membentuk sebuah keluarga yang menjamin kehidupan abadi kita di akhirat kelak.

Wallahu a`lam bi Sowab...



Thursday, April 23, 2009

Bercinta & Mengurat

Bismillahirahmanirrahim..

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh...

Buat sahabat pembaca semua,sebelum ini aku ada menyentuh bab pasangan dan pertunangan dalam blog aku ni, tetapi pada satu hari aku terfikir kenapa aku tak menyentuh bab mengurat atau bercinta kerana dua benda ni lah yang mula-mula dirasai sehingga membawa kepada pertunangan dan perkahwinan.Oleh itu,aku tergerak untuk berkongsi dengan semua berkaitan mengurat dan bercinta mengikut persepsi Islam yang aku dapat daripada seorang sahabat..Terima kasih buat sahabatku itu semoga Allah merahmati dan memberkati dirimu..aminnnn..

Sama-samalah kita memahami dan meneliti artikel di bawah ni untuk kita jadikan kayu ukur kepada situasi diri kita hari ini...

Oleh: Akhukum fil Islam

Adalah sesuatu yang amat perlu untuk seseorang itu memulakan mukadimah cinta dengan mengurat. Apakah hukum mengurat dan bercinta dalam Islam? Apakah dibenarkan seorang lelaki muslim berbual dengan perempuan muslim?. Semua persoalan ini mungkin bermain-main dibenak fikiran remaja muslim yang sangat menitikberatkan ajaran Islam. Bagi sahabat remaja muslim yang kurang mengambil berat persoalan ini, mungkin mereka akan mengunakan formula “pakai bedal sahaja”. Salah tanggapan dan silap fahaman terhadap persoalan ini boleh mewujudkan konflik dalam diri remaja muslim.

Secara kasarnya ada sesetengah ulama menganggap mengurat dan bercinta itu halal tetapi kebanyakkan ulama yang lain pula menganggap haram. Bagaimanapun dikalangan ulama Fekah terdapat beberapa orang ulama yang merupakan pencinta yang hebat seperti Daud az-Zahiri yang merupakan imam Mazhab az-zahiri.

Sebenarnya mengurat dan bercinta sama-sama penting dalam kehidupan. Tiada siapa yang dapat lari daripada mengurat dan bercinta termasuk mereka yang bercinta selepas berkahwin. Hal ini kerana mereka yang bercinta selepas berkahwin akan melihat bakal isteri sebelum diijabkabulkan.

Selain itu jika cinta dianggap sebagai mukadimah kepada perkahwinan, maka mengurat pula dianggap sebagai mukadimah kepada bercinta. Kedua-dua ini berkait antara satu sama lain kecuali bagi mereka yang berkahwin atas pilihan keluarga.

Mengurat dan bercinta dianggap berguna jika ia membawa kepada kebaikan. Sebagai contoh mengurat dan bercinta yang disusuli dengan perkahwinan dan mendirikan rumah tangga adalah berguna kerana ia membawa kebaikan. Dari sini terbentuk pula keluarga dan daripada keluarga ini terbentuk pula masyarakat seterusnya negara.Tidakkah dalam konteks ini mengurat dan bercinta tepat dengan ajaran Islam? Jawabnya ia memang bertepatan dengan ajaran Islam kerana manusia yang diamanahkan Allah sebagai khalifah di muka bumi ini perlu meneruskan survival sehingga ke hari kiamat. Kemungkinan jika manusia tidak mengurat dan bercinta, kita akan pupus di dunia seperti pupusnya dinasour dan ini sudah tentu menyalahi amanah Allah itu.

Namun dari sudut lain, mengurat dan bercinta dianggap tidak berguna dan tidak membawa kepada kebaikan. Mengurat dan bercinta seperti ini tidak menjadi mukadimah kepada perkahwinan sebaliknya mukadimah kepada melahirkan anak luar nikah atau mencampakkan anak yang tidak berdosa ke dalam tong sampah dan longkang.

Mengurat dan bercinta seperti ini dilarang dan diharamkan dalam Islam. Selain itu perlu diingatkan juga bahawa tindakan seseorang itu mengurat dan bercinta itu biasanya bertitik tolak daripada perasaan dan emosi, maka dengan itu mudah sekali terjerumus dalam perkara-perkara yang tidak baik. Oleh itu sesiapa sahaja yang berhadapan dengan ajakan perasaan dan emosi untuk mengurat dan bercinta perlu berusaha sedaya upaya mengunakan kewarasan akal.
Malah sebagai seorang muslim kita juga perlu mengelak daripada konteks fizikal atau luaran yang boleh mencetuskan keghairahan seks yang seterusnya menyebabkan berlaku perlanggaran hukum Allah iaitu perzinaan. Dalam hal ini adalah amat perlu setiap individu muslim berpegang kepada tanggugjawab menjaga dan memelihara aurat kerana persoalan keghairahan seks mempunyai hubung kait yang amat besar untuk berlakunya perzinaan.

Bagi mengelak daripada perkara-perkara terkutuk ini berlaku, panduan rasulullah perlu dipatuhi. Baginda melarang orang Islam supaya jangan melampau dalam mengurat. Malah baginda menyuruh mereka bercinta kerana Allah iaitu mencintai orang yang dikasihi kerana Allah.

Terdapat beberapa riwayat menceritakan Nabi Muhammad s.a.w membenarkan hamba menyanyikan lagu mengurat dipanggil ghazl. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Majah, Rasulullah menyuruh Aisyah menghantar seorang hamba yang pandai menyanyi lagu ghazl kepada pengantin kaum Ansar yang menjadi kerabat Aisyah. Ini kerana menurut Nabi, kaum Ansar ada keramaian termasuk mendendangkan lagu-lagu ghazl. Baginda berkata : Sesungguhnya kaum Ansar adalah kaum yang ada pada mereka ghazl. (Ibnu Majah. Hadis No 1890)

Ghazl bermaksud mengurat tetapi ghazl dalam beberapa hadis nabi bermaksud mendendangkan lagu-lagu cinta yang sunyi daripada kata-kata baik dan sebagainya. Dalam hadis lain yang diriwayatkan oleh al-Bukhari,muslim dan lain-lain, Rasulullah menginggatkan supaya seorang penyanyi keluarga baginda bernama Anjasyah supaya jangan terlalu melampau mendendangkan lagu-lagu yang memperkatakan tentang mengurat dan bercinta.

Dato Dr Mashitah Ibrahim, penolong profesor di Jabatan al-Quran dan Sunah, Kulliah Ilmu Wahyu dan Warisan Islam, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) memberi penjelasan mengenai cinta. Cinta ujarnya sering dikaitkan dengan barat atau Bollywood tetapi sebenarnya orang terlupa bahawa pokok persoalan cinta merupakan matlamat asasi dalam Islam.

Islam adalah agama yang membawa matlamat cinta. Cinta kepada Allah, cinta pada rasul, cinta kepada negara dan cinta sesama manusia. Sebab itulah rasulullah menekankan dalam mendidik anak-anak daripada kecil lagi diterapkan soal cinta. Dalam sebuah hadis, Nabi bersabda: tanamkan dalam diri anak-anak kamu cintakan Allah, cintakan Rasul, cintakan ahli keluarga Rasulullah dan cintakan membaca Al-Quran.

Ini menunjukkan cinta itu suatu yang penting diterapkan dalam diri setiap muslim sehinggakan Nabi s.a.w bersabda bahawa tidak masuk syurga sehingga kamu belajar cinta-mencintai diantara satu sama lain.

Remaja bercinta jelas beliau bukan suatu perkara yang melanggar fitrah. Ia satu fitrah tetapi perlu diaturkan bagaimana cara mereka bercinta berdasarkan garis pandu yang telah digariskan oleh Allah dan Rasul-Nya. Cinta tidak boleh berdasarkan emosi semata-mata, REMAJA mesti ada rasa tanggungjawab.

Wallahu a`lam..