Friday, October 8, 2010

..Penyucian Jiwa Insan..



Assalamualaikum...

Duhai sahabat pembaca yang ku hormati sekalian, kali ini aku ingin menekankan topik berkaitan dengan penyucian jiwa. Aku cuba membicarakan topik ini adalah kerana aku merasakan suasana (bi`ah ) masyarakat terutama disekeliling ku ini semakin hari semakin jauh daripada agama apatah lagi dalam mengingati Allah dan membuat amalan-amalan soleh seperti SOLAT, PUASA dan selainnya. Jika sahabat pembaca sekalian pernah membaca akan sejarah Muhammad bin Abdul Wahab yang mana dikatakan mencetuskan aliran wahabbi pasti kalian merasakan aku seperti mengikut cara beliau. Iya memang benar, aku sedang mengikut cara beliau dalam menyedarkan masyarakat akan kepentingan menjaga kesucian jiwa dan kesucian AGAMA ISLAM.

Sedikit sejarah tentang Muhammad bin Abdul Wahab, beliau telah membawa masyarakat di tempat beliau pada zaman itu keluar daripada kesibukkan dunia sehingga melupakan urusan agama dan kerohanian. Beliau telah menyeru masyarakat dengan kembali kepada Al-Qur`an dan Sunnah supaya hati-hati mereka kembali kepada mengingati ALLAH swt.

Oleh disebabkan itulah, aku merasakan perlunya aku mengingati dan memberikan kesedaran kembali kepada masyrakat terutama di tempat ku supaya kembalilah kepada AGAMA. Sama-samalah kita rajin ke rumah Allah. Sama-samalah kita meninggalkan maksiat dan perkara yang dilarang oleh ALLAH swt. Semoga kehidupan kita bahagia di akhirat ( dunia yang kekal bagi kita manusia) dan tidak hanya di dunia yang sementara ini. Dengan itu marilah kita fahami dan sedar apakah itu tazkiyah al-nafs atau erti kata lain penyucian jiwa.

Terdapat pelbagai definisi yang diberikan oleh penulis-penulis terkemuka di dalam bidang kerohanian Islam ini. Said Hawwa mendefinisikan tazkiyyah al-nafs sebagai satu bentuk amalan perbuatan yang mempengaruhi jiwa manusia secara langsung bagi menyembuhkannya dari pelbagai

jenis penyakit hati serta membebaskan ruh manusia dari cengkaman syaitan. Ini membawa maksud bahawa, jiwa manusia itu mestilah sentiasa dibersihkan daripada pelbagai anasir kotor yang mampu menjatuhkan mereka ke lembah yang hina serta tidak diredhai Allah. Hal ini bertepatan dengan firman Allah yang bermaksud :

'' (Nikmat berkiblatkan Ka`abah yang Kami berikan kepada kamu itu), samalah seperti nikmat Kami mengutuskan kepada kamu seorang Rasul dari kalangan kamu iaitu Muhammad, yang membacakan ayat-ayat Kami kepada kamu, dan membersihkan kamu dari amalan (syirik dan maksiat), dan yang mengajarkan kamu kandungan kitab (al-Qur`an) serta hikmat kebijaksanan, dan mengajarkan kamu apa yang belum kamu ketahui.''

Manakala bagi Sheikh Abdul Qadir al-Jailani pula membahagikan takrif tazkiyah al-nafs kepada dua bahagian. Pertama, penyucian yang bersifat luaran sebagai mana yang disarankan oleh Islam, iaitu membasuh dengan menggunakan air untuk menghilangkan segala kekotoran.

Dalam konteks yang sama juga, beliau turut mengklafikasikan amalan wudhuk sebagai salah satu bentuk penyucian bagi kategori pertama ini. kedua, penyucian yang bersifat dalaman dan melibatkan perlakuan dosa. Tambahnya lagi, ia hanya boleh dihapuskan melalui dosa. Tambahnya lagi, ia hanya boleh dihapuskan melalui proses taubat dan diikuti dengan amalan-amalan kerohanian yang diajar oleh guru-guru tarikat.

Anas Ahmad Karzun pula, menjelaskan bahawa penyucian jiwa ini merupakan satu proses pembersihan diri daripada sebarang bentuk kejahatan dan keburukan serta memperbaikinya ke arah kebaikan sehingga mencapai martabat yang mulia.

Mohd Sulaiman Yasin pula mentakrifkan penyucian jiwa ini sebagai proses pengubatan hati yang dicernakan melalui pembuangan sifat-sifat dan amalan keji serta pengisian kembali dengan amalan yang terpuji. Proses penyucian jiwa dilakukan melalui pengembaraan ruhaniah dan mujahadah al-nafs.

Sebagai kesimpulannya, kita perlulah MEWAJIBKAN diri kita supaya melakukan penyucian jiwa dari segi aspek luaran dan dalaman selaras dengan kehendak agama ALLAH iaitu Islam agar tidak menurut hawa nafsu yang sering menjadi dalang kejatuhan individu MUSLIM. Semoga dunia kita kelek ini ada bersamanya akhirat yang dijunjung. InsyaAllah..

" dan bertaubatlah kamu sekalian kepada allah, wahai orang-orang yang beriman, moga-moga kamu beruntung"
(surah al-Nur :31)

1 comment:

محمد حذوان بن حميدان said...

entry yg mantop!
msh ramai yg x thu btape pntgnya penyucian jiwa ini..apabila jiwa msh blm dsucikan bgaimana ssuatu amln,ibdah dan grak krje itu akn dpandu oleh rahmat ALLAH??

sme2lah kite tnye hti kita, d mnakah thap kita?? (^_^)