Thursday, December 15, 2011

Resonan Hati




بسم الله الرحمن الرحيم
Assalamualaikum…

Selama 4 hari ana tidak dapat berkongsi sesuatu dengan sahabat-sahabat pembaca. Maaf ye, ana ada tanggungjawab yang perlu ana laksanakan. Namun ana harap sepanjang 4 hari lepas, sahabat-sahabat pembaca dapat memanfaatkan ia dengan baik. Sebenarnya sepanjang 4 hari ana ‘outstation’(pasan skit..hehe) tu ana terfikir juga blog ana ni tapi ana tak mempunyai masa yang cukup dan kelemahan ana selaku manusia yang hanya hamba kepada Allah yang Maha Kuasa. Walaupun begitu, ana bersyukur kerana sepanjang 4 hari itu ana mendapat beberapa perkara menarik yang ana dapat kongsikan dengan sahabat-sahabat pembaca.

Untuk kali ini, ana akan cuba berkongsi dengan sahabat-sahabat perkaitan teori resonan dengan Hati manusia. Ana rasa mungkin sahabat-sahabat ada yang pernah dengar berkenaan perkara ini dan mungkin juga ada yang belum, tapi ia tak menjadi masalah kerana selagi mana ia bermanfaat buat ana dan sahabat-sahabat, sama-samalah kita mengambilnya. Sebelum itu, sama-sama kita mohon kepada Allah swt supaya dibukakan hati kita dalam menerima hikmah dan ilmu yang datang daripada-Nya. Amiin..

Apakah itu Resonan??

Resonan adalah satu proses getaran yang berlaku disebabkan getaran (tenaga) benda lain. Ertinya,jika kita menggetarkan suatu benda, lantas ada benda lain yang ikut bergetar, maka dikatakan benda lain tersebut terkena resonansi getaran (tenaga) frekuensi tabi`i. Dalam erti kata mudah, getaran yang terhasil daripada suatu benda akan menyebabkan benda disekelilingnya turut bergetar namun frekuensi getaran itu mestilah sepadan dengan benda disekitarnya. Ini kerana jika terlalu rendah ia tidak akan memberi kesan dan jika ia terlalu tinggi ia akan memusnahkan.

Perkaitan Hati dan Resonan

Hati adalah tempat terjadinya resonansi. Hati manusia bagaikan sebuah tabung resonansi gitar. Setiap kita berfikir dan membuat sesuatu, akan terjadi getaran di hati kita. Getaran tersebut boleh jadi kasar, juga boleh jadi lembut. Bergantung bagaimana getaran itu muncul. Ketika kita gembira, hati kita bergetar. Ketika sedang bersedih, hati kita juga bergetar. Ketika marah, hati kita juga bergetar.

Sebagai contoh, kita lihat gitar akustik. Ia memiliki tabung resonansi yang lubangnya, menghadap ke arah deretan talinya. Jika tali tersebut digetarkan dengan cara dipetik, maka udara di dalam ruang resonansinya akan ikut bergetar. Inilah yang menyebabkan suara senar gitar itu terdengar keras dan merdu.Apa yang terjadi jika lubang gitar tersebut disumbat dengan kain? Maka boleh dipastikan tidak akan terjadi resonansi di dalam gitar itu. Maka, bunyi gitar pun menjadi sangat perlahan dan tidak merdu.

Secara umum getaran bagi hati ini datangnya daripada 2 sumber, Hawa Nafsu dan Getaran Ilahiah. Hawa Nafsu adalah keinginan untuk melampiaskan segala kehendak diri. Getarannya cenderung kasar dan bergelojak tidak beraturan. Dalam kajian fizik, getaran semacam ini disebut memiliki frekuensi rendah, dengan amplitud yang besar. Yang termasuk dalam getaran hawa nafsu ini diantaranya adalah kemarahan, kebencian, dendam, iri, dengki, berbohong, menipu, kesombongan dan lain sebagainya.

Sedangkan Getaran Ilahiah adalah getaran yang berkaitan dengan ketuhanan dan ia mendorong untuk mencapai tingkatan kualiti yang lebih tinggi. Getarannya cenderung lembut dan halus, dengan frekuensi getaran yang sangat tinggi dan teratur. Termasuk dalam getaran Ilahiah ini adalah membaca Al Quran. Berzikir menyebut Asmaul Husna. Sifat sabar, ikhlas, dan kepasrahan diri dalam beragama.

Hati yang baik ialah hati yang lembut dan bergetar apabila mendengar firman Allah swt. Sebagaimana firman Allah swt :

"Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu adalah mereka yang apabila disebut nama Allah gementarlah hati mereka, dan apabila dibacakan kepada mereka Ayat-ayatnya, bertambahalah iman mereka (karenanya) dan kepada Rabb-lah mereka bertawakkal."
(Al-Anfal:2)

Oleh itu, hati yang baik adalah hati yang lembut. Hati yang mudah bergetar. Bagaikan buluh perindu yang menghasilkan suara merdu ketika ditiup. Kenapa demikian? Kerana, hati yang lembut bagaikan sebuah tabung resonansi yang bagus. Getarannya menghasilkan frekuensi yang semakin lama semakin tinggi. Semakin lembut hati seseorang, semakin tinggi pula frekuensinya. Pada frekuensi 10 tahap 8 akan menghasilkan gelombang radio. Dan jika lebih tinggi lagi, pada frekuensi 10 tahap 14, akan menghasilkan gelombang cahaya.

Jadi, seseorang yang hatinya lembut akan bisa menghasilkan cahaya di dalam hatinya. Dan jika cahaya ini semakin terang, maka ia akan 'menerobos' keluar menggetarkan seluruh bio elektron di dalam tubuhnya untuk mengikuti frekuensi cahaya tersebut. Hasilnya, tubuhnya akan mengeluarkan cahaya persis aura yang jernih. Dan jika kelembutan hati itu semakin menguat, maka aura itu akan merembes semakin jauh mempengaruhi lingkungan sekitarnya.

Namun begitu, jika hati kita berpenyakit, dan kemudian sering mengeluarkan getaran-getaran yang kasar, maka getaran itu akan menyebabkan hati kita mengeras. Kekerasan hati kita itu akan terus meningkat, hingga dikatakan Allah seperti batu atau lebih keras lagi. Hati yang keras adalah hati yang susah untuk bergetar. Semakin lama semakin susah bergetar.

Jika ini diteruskan maka hati kita tidak mampu lagi beresonansi. Hati yang demikian adalah hati yang tidak peka tehadap lingkungannya. Maka, pada tingkatan ini hati kita seperti tertutup kerana tidak mampu lagi beresonansi dengan bergetar. Bagaikan lubang gitar yang disumbat oleh kain atau benda-benda lain. Tidak boleh menghasilkan getaran dan suara yang merdu. Dan akhirnya, kata Allah, hati yang seperti itu dikunci mati. Na'udzubillahi min dzaalik.

Antara bukti resonansi hati ini ialah, kalau kita berdekatan dengan orang-orang yang ikhlas dan penuh kesabaran, hati kita juga merasa tenteram dan damai. Sebab hati kita teresonansi oleh getaran frekuensi tinggi yang bersumber dari hati dan aura tubuhnya. Sebaliknya, kalau kita berdekatan dengan seseorang yang pemarah, maka hati kita akan ikut merasa 'panas' dan gelisah. Semua itu akibat adanya resonansi gelombang elektromagnetik yang memancar dari tubuh seseorang kepada sekitarnya.

Pernah tak sahabat2 rasa perkara ini?? Ana rasa pernah Cuma kita tidak pernah mengambil berat perkara ini....



Kesimpulannya

Kita tahu bahawa hati yang bergetar semestinya hati yang lembut. Maka jika kita mendengar bacaan Al-Qur`an sepatutnya kita merasakan adanya getaran pada hati kita, namun jika kita tidak merasakan sesuatu pun bermakna hati kita sudah menjadi keras. Namun sahabat2, ini tidak bermakna hati yang keras itu tidak mampu bergetar, Cuma ia memerlukan segenap usaha dan kesungguhan diri kita supaya menghasilkan suatu getaran yang mampu menggetarkan hati kita yang telah keras itu. Dan yang paling utama ialah doa kita kepada Allah swt sebagai bukti kesungguhan kita mengharap kepada Allah swt dan tidak pernh putus asa dengan Rahmat-Nya.
Ini bertepatan dengan firman Allah swt :

Katakanlah (Wahai Muhammad): “Wahai hamba-hambaku yang telah melampaui batas terhadap diri sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya dialah jua yang Maha Pengampun; lagi Maha Mengasihani”. Al-Zumar:53

“ Ya Allah..Engkau lembutkanlah hati kami “..amiin

Wallahua`lam...

2 comments:

Anonymous said...

assalamu'alaikum...nice post...teruskan menulis...-TSI-

Akira said...

menarik... konsep fizik dikaitkan degn hati :)