Saturday, December 31, 2011

Sucikan Kembali Fitrah Berpasangan Yang Telah Dikotori














بسم الله الرحمن الرحيم
Assalamualaikum…
- sambungan -

Entri kali ini adalah untuk menjelaskan dengan lebih terperinci jalan-jalan dan kaedah-kaedah yang Islam telah gariskan kepada kita untuk membawa fitrah berpasangan itu diatas jalan yang suci. Seperti yang ana katakan sebelum ini apabila kita suka dan berkenan dengan seseorang itu cepat-cepatlah kita ‘khitbah’ dia secara terus atau melalui wali bagi mereka. Namun mungkin ramai yang ingin tahu khitbah ni apa? Macam mana nak khitbah? Apa boleh dan tak boleh kita buat setelah kita khitbah? Mari kita sama-sama baca, faham dan berusaha sepenuh asa untuk mengamalkannya andai diri sudah bersedia untuk berumahtangga…



APA ITU KHITBAH/BERTUNANG

"Khitbah" (Bahasa Arab) manakala "bertunang" (Bahasa melayu) adalah muqaddimah atau permulaan kepada az-zawaj. "Khitbah" di dalam bahasa Arab apabila diterjemah maknanya ke dalam Bahasa Melayu bermakna 'melamar' wanita untuk dijadikan bakal isteri. "Melamar" ini juga bermakna meminta persetujuan pihak wanita untuk menjadi isteri kepada pihak lelaki. Khitbah ini memakan 'masa' berdasarkan kebiasaan atau adat yang masyhur dipegang kawasan, tempat, adat dan suasana masyarakat. "Khitbah" juga bermakna proses lelaki meminta dari pihak perempuan untuk berkahwin dengan cara-cara atau jalan-jalan yang diketahui masyhur di tempat masing-masing. (Fiqh Assunnah oleh Syed sabiq).

"Khitbah" juga membawa makna menzahirkan dan menyatakan kehendak atau kemahuan seseorang untuk berkahwin dengan seseorang wanita. (Fatawa Muasoroh oleh Dr.Yusof Al Qardawi).

Dr. Yusof Al- Qardawi juga berkata (buku yang sama) bahawa di dalam khitbah / bertunang ini tidak ada "hak" bagi khatib(tunang lelaki) kecuali hak untuk melamar makhtubah (tunang wanita) semoga pihak lelaki selain darinya tidak datang untuk meminang wanita itu.


HUKUM KHITBAH / BERTUNANG DI DALAM ISLAM

Hukum khitbah ini adalah "harus" tetapi Imam As-Syafie (sila rujuk buku Mughni Almuhtaj) mengatakan hukumnya adalah "al-istihbab / sunat". Dan Dr. Abd. Karim Zaidan (sila rujuk buku Almufassal fi Ahkam Al Mar'ah mengatakan bahawa hukum "al-istihbab / sunat" ini lebih aula (utama) dari hukum "harus" tadi.



DALIL ATAU BUKTI DISYARIATKAN KHITBAH / TUNANG

Dalil atau bukti dibolehkan khitbah / tunang ini terlalu banyak. Diantaranya ialah :

1) Hadis Rasulullah saw yang mafhumnya:

" tidak halal bagi kamu penjualan di atas penjualan orang lain dan tidak halal bagi kamu pertunangan di atas pertunangan orang lain".

Jika kita perhatikan daripada hadith ini Rasulullah saw melarang kita daripada meminang atas pinangan orang lain. Ini bermaksud khitbah/meminang itu adalah dianjurkan oleh Islam tetapi yang tidak dibenarkan ialah meminang tunangan orang!....

2) Hadis Dari Jabir bin Abdillah bahawa Rasulallah saw bersabda:


" Apabila salah seorang dari kamu bertunang, maka jika sekiranya dia boleh melihat wanita itu hingga membawa kepada kehendak atau kemahuan untuk bernikah / kahwin, maka lakukan!!! ".

Berkata Jabir (perawi) hadis ini:

" aku telah bertunang dengan wanita dari Bani Salamah, aku telah bersembunyi tanpa dilihat oleh wanita itu sehingga aku melihat sebahagian dari 'diri / tubuh badan' wanita itu yang boleh membawa kepada kehendak dan kemahuan aku untuk menikahi atau mengahwininya".

(Fiqh Assunnah oleh Syed Sabiq.)

Terdapat 2 syarat sah dalam proses khitbah, iaitu :

1) Makhtubah adalah wanita yang boleh dikahwini.

2) Tidak meminang wanita-wanita yang telah dipinang oleh orang lain.

Perbezaan pandangan di kalangan Ulama’ mengenai anggota-anggota wanita yang boleh dilihat ketika khitbah, iaitu:

1) Jumhur Ulama’ berpandangan: boleh melihat wajah dan kedua telapak tangan, kerana melihat wajah dan kedua telapak tangan akan dapat diketahui kecantikan wanita itu.


2) Ibnu Daud mengatakan: boleh melihat seluruh anggota.

3) Imam Abu Hanifah membolehkan melihat dua telapak kaki, wajah dan dua telapak tangan.


TEMPOH ATAU MASA YANG DIBENARKAN OLEH SYARAK UNTUK BERKHITBAH / BERTUNANG

1. Tempoh masa khitbah yang dipersetujui oleh jumhur ulama` ialah tempoh yang tidak panjang atau lama. Jumhur ulama` berselisih pendapat dalam menentukan makna "tempoh panjang / lama" itu. Berapa hari, berapa minggu, berapa bulan, berapa tahun. Maka tempoh ini semua ditentukan oleh 'uruf / adat yang masyhur dipegang di sesuatu tempat.


HUKUM BERDUA-DUAAN DENGAN TUNANG


Agama Islam mengharamkan berdua-duaan ke atas tunangan ini sehinggalah mereka dijab qabul dan dinikahkan. Pengharaman ini adalah untuk mencegah terjadinya maksiat zina yang menjadi kunci kepada maksiat-maksiat lain. Sabda Rasulallah saw yang bermaksud: " Tidak halal bagi seseorang lelaki berkhalwat (berdua-duaan ditempat sunyi) dengan seseorang wanita yang tidak halal buatnya kecuali ditemani mahramnya. Maka orang atau pihak ketiga yang ada bersama-sama ketika mereka berdua berkhalwat itu adalah syaitan". (sila rujuk buku Fiqh As-Sunnah oleh Syed Sabiq).

Dr.Yusof Al Qardawi (Fatawa Muasoroh) berkata:

" selama mana ijab dan qabul belum ditunaikan oleh tunang lelaki dan tunang wanita (belum sah nikah / kahwin), maka keadaan masih seperti hukum asal. Iaitu:-

1. Tidak halal dan haram bagi makhtubah (tunang wanita) untuk berkhalwat(berdua-duaan sehingga menimbulkan fitnah) dengan khatibnya (tunang lelaki) KECUALI bersama-sama mahtubah (tunang wanita) itu ada salah seorang mahramnya seperti ayahnya atau abangnya.

2. Tidak halal dan haram bagi makhtubah (tunang wanita) untuk bermusafir atau melancong dengan khatibnya (tunang lelaki) KECUALI bersama-sama mahtubah (tunang wanita) itu ada salah seorang mahramnya seperti ayahnya atau abangnya.]

Bagaimana dengan study bersama? Keluar shopping bersama? Berjalan dipantai bersama? Berbual dalam telefon? Bermain mesej?...Ana rasa semua sahabat pembaca dapat menjawab sendiri persoalan ini jika betul-betul memahami fatwa Dr. Yusof Al Qardawi diatas dan betul-betul faham kehendak dan larangan agama.


SOLAT ISTIKHARAH


Apabila seorang lelaki telah melihat wanita yang dipinang serta wanita pun sudah melihat si lelaki yang meminangnya dan tekad telah bulat untuk menikah, maka hendaklah masing-masing dari keduanya untuk melakukan solat istikharah dan berdo’a seusai solat. Iaitu memohon kepada Allah agar memberi taufiq dan keserasian, serta memohon kepada-Nya agar diberikan pilihan yang baik baginya. Hal ini berdasarkan hadits dari Jabir bin ‘Abdillah r.a, ia berkata, “Rasulullah saw mengajar kami solat Istikharah untuk memutuskan segala sesuatu sebagaimana mengajar Al-Qur'an.” Baginda bersabda, “Apabila seseorang di antara kalian mempunyai perancangan untuk membuat sesuatu, hendaknya melakukan solat sunnah (Istikharah) dua raka’at, kemudian membaca do’a:


“Ya Allah, sesungguhnya aku meminta pilihan yang tepat kepada-Mu dengan ilmu-Mu dan aku memohon kekuatan kepada-Mu (untuk mengatasi persoalanku) dengan Maha kuasa-Mu. Aku mohon kepada-Mu sesuatu dari anugerah-Mu yang Maha agung, sungguh Engkau Mahakuasa sedang aku tidak kuasa, Engkau Maha Mengetahui sedang aku tidak mengetahui dan Engkaulah yang Maha Mengetahui yang ghaib. Ya Allah, apabila Engkau mengetahui bahwa urusan ini (orang yang mempunyai hajat hendaknya menyebut persoalannya) lebih baik dalam agamaku, penghidupanku, dan akibatnya terhadap diriku (atau Nabi shallallaahu ‘alaihi wa sallam bersabda, ‘..di dunia atau akhirat) takdirkan (tetapkan)lah untukku, mudahkanlah jalannya, kemudian berilah berkat atasnya. Akan tetapi, apabila Engkau mengetahui bahwa persoalan ini membawa keburukan bagiku dalam agamaku, penghidupanku, dan akibatnya kepada diriku (atau Nabi shallallaahu ‘alaihi wa sallam bersabda, ‘...di dunia atau akhirat’) maka singkirkanlah
persoalan tersebut, dan jauhkanlah aku darinya, dan takdirkan (tetapkan)lah kebaikan untukku di mana saja kebaikan itu berada, kemudian Berikanlah keredhaan-MU kepadaku. “


Dari Anas bin Malik r.a, ia berkata, “Tatkala masa ‘iddah Zainab binti Jahsy sudah selesai, Rasulullah saw berkata kepada Zaid, ‘Sampaikanlah kepadanya bahwa aku akan meminangnya.’ Zaid berkata, ‘Lalu aku pergi mendatangi Zainab lalu aku berkata, ‘Wahai Zainab, bergembiralah kerana Rasulullah mengutusku bahawa beliau akan meminangmu.’’ Zainab berkata, ‘Aku tidak akan melakukan sesuatu hingga aku meminta pilihan yang baik kepada Allah.’ Lalu Zainab pergi ke masjidnya. Lalu turunlah Ayat Al-Qur`an dan Rasulullah saw datang dan masuk menemuinya.’’ Imam an-Nasa’i memberikan bab terhadap hadits ini dengan judul Shalaatul Marhidza Khuthibat wastikhaaratuha Rabbaha

(Seorang Wanita Solat Istikharah ketika Dipinang).”


Faedah-Faedah Yang Berkaitan Dengan Istikharah:


1. Solat Istikharah hukumnya sunnah.

2. Do’a Istikharah dapat dilakukan setelah solat Tahiyyatul Masjid, solat sunnah Rawatib, solat Dhuha, atau solat malam.

3. Solat Istikharah dilakukan untuk meminta ditetapkannya pilihan kepada calon yang baik, bukan untuk memutuskan jadi atau tidaknya menikah. Kerana, asal dari pernikahan adalah dianjurkan.

4. Hendaknya ikhlas dan ittiba’ dalam berdo’a Istikharah.

5. Tidak ada hadits yang shahih jika sudah solat Istikharah akan ada mimpi, dan lainnya.




Setelah khitbah bersiap sedialah untuk menjadi suami isteri yang sah dengan akad nikah yang sah...!!






Ana berpesan kepada diri ana sendiri dan sahabat-sahabat supya sama-sama kita dapat menjaga fitrah berpasangan yang telah Allah swt bagi kepada kita dan janganlah kita kotorinya. Andai kata kita telah mengotorinya belum terlambat untuk kita kembali menyucikan ia dengan syariat Allah swt dan bertaubatlah kepada-NYA. Bagi yang baru ingin mencari pasangan adalah baik niat itu kita laksanakan dengan mengikut garis panduan yang telah agama kita gariskan supaya pasangan, hubungan dan keluarga yang akan kita bina mendapat redha Allah swt dan Rasulullah saw. Moga-moga ia juga memberikan kita kebahagian tak hanya didunia bahkan nun di SYURGA Allah Yang Maha Esa..amiin..insyaAllah..

- Tammat -

Wallahua`alam....


sumber: http://muzakarah.tripod.com/tunang.html


~Ya Allah janganlah Engkau palingkan hati kami setelah Engkau berikan Hidayah~

No comments: